By Iqmal Tugiman
Sedikit sejarah USB
Universal Serial Bus ialah port yang dicipta pada tahun 1995 atas usaha sama Compaq, DEC, IBM, Intel, Microsoft, NEC dan Nortel. Ianya dicipta bagi menyeragamkan port yang digunakan oleh pelbagai peranti yang disambungkan kepada komputer anda. Sekiranya anda pernah menggunakan komputer sebelum milenium, anda pasti ingat papan kekunci menggunakan kabel PS/2, pencetak menggunakan kabel IEEE dan modem menggunakan kabel Serial.
Penggunaan pelbagai kabel berlainan untuk penyambungan peranti berbeza adalah melecehkan. Dengan penggunaan penyambungan USB kesemua peranti berkongsi kabel yang sama. Jika ada kabel yang rosak, kabel peranti lain yang tidak digunakan boleh menggantikan kabel yang rosak. Penggunaan port USB hanya meletus pada tahun 1998 apabila semakin banyak motherboardmula meletakkannya sebagai standard. Sebelum itu jika anda mahukan port USB pada komputer, anda perlu membeli kad tambahan (daughter board) yang disambungkan kepada slot PCIkomputer.
Penggunaan USB kini sudah menyeluruh dan dianggarkan terdapat 6 billion peranti di dunia mempunyai port USB dalam pelbagai bentuk dan versi. Tahun lalu sahaja 2 billion peranti dengan port USB dijual di dunia.
Jenis Kepala USB
Apa yang anda lihat di bawah ialah beberapa rekaan kepala USB yang ada sekarang. Rekaan Type Adan Mikro Type B adalah yang paling kerap kita lihat. Ini bermakna selama 20 tahun berjuta-juta pengguna USB sudah merana dengan rekaan Type A yang hanya boleh dimasukkan pada satu orientasi sahaja. Atas sebab ini jugalah kepala USB-C dicipta kerana ia tidak mempunyai orientasi khas untuk disambungkan. Walaupun “terbalik” ia masih boleh disambungkan tanpa sebarang masalah.
Apakah Kelebihan USB-C?
Selain memastikan kabel yang lebih mudah dipasang, USB-C berkemampuan melakukan pemindahan data yang lebih pantas kerana menggunakan versi USB 3.1. Saiznya yang kecil pula memastikan peranti pintar yang akan memasuki pasaran di masa akan datang boleh direka untuk menjadi semakin nipis. USB-C juga boleh digunakan sebagai pengganti jack fon kepala anda. Jadi masalah ketiadaan jack fon kepala kerana peranti terlalu nipis seperti yang berlaku kepada Oppo R5 akan dilupuskan. Ini juga bermakna di masa hadapan fon kepala gaming anda yang kini menggunakan kepala USB-A boleh digunakan pada peranti pintar dengan menggunakan penyesuai ke USB-C.
Penggunaan USB-C oleh Apple dan Google pada dua komputer riba terkini mereka juga menunjukkan kini ada usaha untuk menjadikan USB-C sebagai kepala pilihan untuk pengecas universal kesemua peranti. Pada tahun 2014, Kesatuan Eropah mengarahkan kesemua pengeluar peranti pintar untuk menggunakan pengecas yang menggunakan kepala yang sama menjelang 2016. Apple Macbook sudahpun menggunakan USB-C sebagai pengecas menggantikan sistemMagSafe. Jangan terkejut jika tahun ini pengeluar komputer riba yang lain akan turut menggantikan port pengecas mereka kepada USB-C kelak.
Bayangkan dunia di mana tablet, telefon pintar, power bank dan komputer riba kesemuanya dicas menggunakan pengecas yang sama. Rakan anda yang menggunakan peranti iPhone tidak perlu risau lagi anda tidak mempunyai kabel Lightning untuk mengecas peranti Apple mereka. Tidak perlu lagi membawa pengecas komputer riba yang besar di dalam beg. Di dalam Lord of The Ringada “sebentuk cincin yang memerintah kesemuanya”. Dengan USB-C kita bakal mempunyai“sebuah pengecas yang mengecas kesemuanya”. Pendek kata pengenalan pengecas universal untuk kesemua peranti milik anda di masa hadapan impaknya sama seperti pengenalan USB sebagai pengganti kabel berlainan kepala untuk peranti komputer pada tahun 1995.
Mengapa ini boleh dilakukan? Ini adalah kerana USB-C mampu membekalkan kuasa sehingga 100 watts berbanding hanya 4.5 watts yang dibekalkan USB-A.
Versi Dan Kelajuan USB
SB | ||
---|---|---|
Versi | Kelajuan Maksimum | Tahun Diperkenalkan |
USB 1.0 | 12 Mbps | 1995 |
USB 2.0 | 480 Mbps | 2000 |
USB 3.0 | 5 Gbps | 2008 |
USB 3.1 | 10 Gbps | 2013 |